WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Sangkal Dakwaan Wujud 'Mafia Korporat’, Sifatkan Cubaan Cemar Kredibiliti Siasatan

24/02/2026 09:35 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengaitkan kewujudan “Mafia Korporat” dengan suruhanjaya itu serta menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.

“SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan… Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, isu itu adalah dakwaan lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya berkenaan.

SPRM memaklumkan semua siasatan dilaksanakan berasaskan bukti selaras dengan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.

Kenyataan itu memaklumkan perkara berkenaan kini disiasat oleh Polis Diraja Malaysia dan memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan fakta serta kebenaran ditentukan mengikut lunas undang-undang.

“Penyebaran tuduhan tanpa asas daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan... tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Penyaluran maklumat melalui saluran sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media atau penerbitan tanpa bukti kukuh.

“SPRM kekal komited melaksanakan mandat membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan