WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Moto3: Mental, Fizikal Hakim Danish Di Tahap Optimum Menjelang Aksi Sulung Musim 2026

24/02/2026 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pelumba muda berbakat negara Muhammad Hakim Danish Ramli sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi saingan kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, dari 27 Feb hingga 1 Mac ini.

Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki susulan siri ujian pramusim di Litar Portimao, Portugal dan Litar Jerez, Sepanyol baru-baru ini, pelumba FRINSA-MT Helmets-MSI itu optimis mampu memberikan tunggangan terbaik pada perlumbaan pembukaan musim baharu itu.

“Saingan Moto3 sangat berbeza dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan. Namun, berbekalkan pengalaman beraksi dalam tiga perlumbaan pada tahun lepas, saya telah mengenal pasti aspek kritikal yang perlu dipertingkatkan, khususnya mencatat masa pada sesi kelayakan dan strategi pada hari perlumbaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tahun lepas, pelumba berusia 18 tahun itu membuat penampilan sulung dalam saingan Moto3 menerusi tiket wildcard mewakili pasukan AEON Credit SIC Racing MSI pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

Hakim Danish bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan di laman sendiri susulan masalah teknikal. 

Pelumba dari Terengganu itu kemudian diberi peluang beraksi bersama pasukan FRINSA-MT Helmets-MSI menggantikan pelumba Jepun Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan pada dua perlumbaan terakhir Moto3 musim lepas.

Hakim Danish mencatat keputusan memberangsangkan dengan menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik, masing-masing di tempat ke-12 (GP Portugal) dan ke-14 (GP Valencia, Sepanyol).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan