Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang dijangka dimuktamadkan menjelang 2026-2027 akan mewujudkan peluang besar kepada syarikat Austria dan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama.
Duta Austria ke Malaysia Gerhard Eisl berkata setakat ini pusingan ketiga rundingan berkaitan perjanjian berkenaan di Brussels berjalan lancar.
“Kita tunggu dan lihat kerana perkara yang lebih sukar lazimnya muncul di penghujung rundingan. Sudah tentu kedua-dua pihak mempunyai kepentingan masing-masing. Saya menjangkakan situasi yang saling menguntungkan kedua-dua pihak memandangkan Malaysia dan Kesatuan Eropah sedang giat berunding untuk memuktamadkan FTA komprehensif sama ada tahun ini atau pada 2027.
“Itu adalah hasil yang ideal untuk kedua-dua pihak dan kita harapkan,” katanya kepada Bernama selepas tampil dalam program The Nation terbitan BernamaTV hari ini.
Eisl berkata Malaysia dan Austria yang mempunyai beberapa persamaan termasuk kedudukan strategik masing-masing di tengah Asia Tenggara dan Eropah mempunyai potensi besar untuk kerjasama lebih mendalam.
“Apakah yang menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelabur Austria? Pertama sekali ialah tenaga kerjanya yang berkualiti dan berpendidikan tinggi.
"Kerajaan juga memberi sokongan yang kukuh. Syarikat kami yang beroperasi dalam industri semikonduktor dan tenaga hidro di sini amat berpuas hati dan mahu mengembangkan lagi operasi mereka,” katanya.
Beliau memberi contoh Pulau Pinang dan Kedah berikutan ekosistem semikonduktor yang mantap serta kehadiran pemain industri utama di negeri berkenaan.
Ketika ini, kira-kira 60 syarikat Austria beroperasi di Malaysia, kebanyakannya dalam industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi termaju, automotif dan produk pengguna gaya hidup.
Antaranya termasuk AT&S, Doppelmayr, Andritz AG, SoftwareQ, KTM Motorcycles, Swarovski dan Voith Hydro dan Global Hydro.
Eisl berkata syarikat Austria berminat menyokong aspirasi tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) manakala Malaysia pula boleh memanfaatkan pengalaman luas Austria dalam pembangunan TBB.
Austria kini menjana lebih 90 peratus tenaga elektriknya daripada kuasa hidro, didorong faktor geografi, katanya.
"Malaysia berpotensi besar mempertingkat kapasiti TBB, selari dengan usaha global yang semakin giat mengurangkan pelepasan karbon," kata Eisl.
Malaysia dan Austria menjalin hubungan diplomatik pada 1962.
Pada Disember 2025, eksport utama Malaysia ke Austria merangkumi peranti semikonduktor bernilai RM132 juta, litar bersepadu (RM71.4 juta) serta bahan kimia cakera untuk elektronik (RM18.9 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial