KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes pecah cermin kereta milik Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di kawasan parkir Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.49 semalam.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku antara 6.15 petang hingga 7 malam ketika ahli parlimen itu sedang melakukan aktiviti senaman di taman rekreasi berkenaan.
"Apabila selesai bersenam, mangsa mendapati cermin pintu hadapan sebelah kiri kenderaannya telah dipecahkan.
"Mangsa melaporkan kehilangan beg tangan yang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit serta wang tunai dengan anggaran kerugian berjumlah RM6,500," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Firdaus berkata pasukan forensik telah berjaya menemukan tiga kesan cap jari pada kenderaan berkenaan dan telah dihantar ke Sistem Pemeriksaan Biometrik Forensik (BIOFIS) Bukit Aman bagi proses pengecaman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan bagi mengelak kejadian seumpama itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial