WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sindiket Fake BTS Bergerak Dinamik, Jadi Cabaran Penguatkuasaan - Teo 

23/02/2026 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kesukaran mengesan peranti Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) yang boleh disembunyikan dalam kenderaan atau beg menjadi cabaran utama pihak berkuasa untuk mengekang sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) di lapangan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sifat peranti yang mudah alih itu membolehkan sindiket beroperasi secara dinamik bagi mengelak daripada dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata teknologi berkenaan digunakan untuk memintas rangkaian keselamatan mudah alih bagi menghantar pesanan ringkas palsu serta pautan berbahaya kepada pengguna yang berada dalam radius peranti tersebut.

"Oleh kerana peranti ini boleh dibawa ke mana-mana sahaja, tindakan penguatkuasaan amat memerlukan maklumat dan aduan daripada orang awam untuk membantu kami mengenal pasti lokasi tepat sindiket berkenaan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mustafa Musa yang ingin tahu sejauh mana MCMC mengambil tindakan terhadap sindiket Fake BTS serta penyalahgunaan kad sim bagi aktiviti penipuan digital di rangkaian telekomunikasi negara.

Teo berkata sejak September 2024, MCMC dengan kerjasama polis telah melaksanakan beberapa siri operasi termasuk Ops Pancing, Ops Fake BTS, dan Ops Delusi yang berjaya menumpaskan sindiket di lokasi berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Beliau berkata penggunaan atau pemilikan kelengkapan komunikasi tidak sah merupakan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun.

Dalam pada itu, Teo mengumumkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pendaftaran kad SIM akan dikuatkuasakan bermula 27 Feb ini bagi menghalang penyalahgunaan talian oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata langkah itu termasuk mengenakan kompaun lebih tinggi terhadap syarikat telekomunikasi yang gagal mematuhi peraturan pendaftaran bagi memastikan keselamatan ekosistem digital negara terus terpelihara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan