WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rundingan Seterusnya Kod Tatalaku Laut China Selatan, Di Singapura Bulan Ini

21/02/2026 09:06 PM

MANILA, 21 Feb (Bernama-PNA) -- Pusingan rundingan seterusnya mengenai Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan akan diadakan pada minggu terakhir Februari, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA).

Dalam satu sidang media di Pasay City pada Jumaat, jurucakap hal ehwal maritim DFA Rogelio Villanueva berkata pegawai-pegawai kanan dari China dan ASEAN akan bertemu di Singapura.

Peningkatan kekerapan rundingan itu adalah selaras dengan usaha Filipina, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, untuk mempercepat rundingan dan memuktamadkan COC menjelang akhir 2026.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, Filipina komited untuk meneruskan momentum dalam rundingan bagi Kod Tatalaku yang substantif dan berkesan," kata Villanueva.

"Kami bersedia untuk memudahkan lebih banyak mesyuarat. Malah, dengan kerjasama negara anggota ASEAN yang lain dan China, kami mengadakan mesyuarat secara bersemuka setiap bulan bagi meningkatkan peluang untuk duduk berbincang dan berunding," katanya.

Dari aspek dua hala, Villanueva berkata DFA terus melibatkan China bagi menguruskan ketegangan dan menyelesaikan pertikaian Laut Filipina Barat melalui cara aman dan diplomatik.

Kedua-dua pihak juga sedang membincangkan jadual bagi Mekanisme Perundingan Dua Hala (BCM) Filipina-China mengenai Laut China Selatan yang seterusnya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang memperkukuh pakatan dan perkongsian bagi menegakkan orde maritim berasaskan peraturan yang berpaksikan undang-undang antarabangsa.

Filipina kini mengekalkan 11 dialog maritim untuk meningkatkan keupayaannya.

"Walaupun DFA memperdalamkan pakatan dan perkongsian dengan negara-negara yang mempunyai pemikiran serupa, ia juga mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan pihak China untuk meneruskan dialog yang jujur, membina serta kerjasama praktikal," kata Villanueva.

Sementara itu, beliau menyambut baik kesediaan Senat untuk mengadakan perbincangan dengan Kedutaan China di Manila.

Villanueva berkata DFA melihat rancangan dialog itu sebagai "peluang untuk perbincangan yang telus, mesra, dan profesional - yang dapat menangani perbezaan kedudukan secara berterus-terang sambil mengenal pasti bidang persefahaman bersama."

Senat kini sedang menyelaras secara langsung dengan pihak kedutaan bagi menetapkan tarikh mesyuarat itu, katanya.

"Jika Senat menghubungi DFA, kami pastinya bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan," kata Villanueva.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan