WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Israel Cuba Gugat Usaha Pulihkan Kestabilan - Presiden Lubnan

21/02/2026 08:58 PM

BEIRUT, 21 Feb (Bernama-QNA) -- Presiden Lubnan Jeneral Joseph Aoun mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel pada Jumaat  di kawasan Sidon, selatan Lubnan serta pekan-pekan di Lembah Bekaa di timur negara itu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Lubnan pada Sabtu, Aoun menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu lagi pencabulan terhadap kedaulatan Lubnan dan pelanggaran nyata terhadap komitmen antarabangsa.

Beliau berkata tindakan itu mencerminkan sikap tidak mengendahkan kehendak masyarakat antarabangsa, terutamanya resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pematuhan penuh terhadap Resolusi 1701 dalam semua peruntukannya.

Aoun menyifatkan serangan berterusan itu sebagai "tindakan pencerobohan yang nyata" bertujuan untuk menggugat usaha diplomatik Lubnan bersama negara rakan dan sekutu, terutamanya Amerika Syarikat, bagi memperkukuh kestabilan serta menghentikan permusuhan Israel terhadap Lubnan.

Presiden Lubnan itu turut mengulangi  gesaannya kepada negara-negara penaja kestabilan serantau agar "memikul tanggungjawab mereka untuk segera menghentikan serangan dan mengenakan tekanan bagi memastikan penghormatan terhadap resolusi antarabangsa."

Tegas beliau, langkah itu penting bagi memelihara kedaulatan, keselamatan, dan integriti wilayah Lubnan serta mencegah peningkatan ketegangan lanjut di rantau berkenaan.

Serangan Israel pada Jumaat di selatan Lubnan dan sebahagian Lembah Bekaa itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban manakala beberapa yang lain cedera.

-- BERNAMA-QNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan