KOTA BHARU, 21 Feb (Bernama) -- Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, di sini yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya bulan depan dijangka mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sebelum ini.
Pengurus LTSIP Suhaimi Abdul Sani berkata lapangan terbang itu kini berwajah baharu selepas melalui fasa naik taraf dengan kemudahan lebih komprehensif bagi meningkatkan keselesaan penumpang dan operasi penerbangan.
Beliau berkata keluasan bangunan terminal ditingkatkan daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi yang menyediakan ruang lebih selesa kepada penumpang.
“Jumlah ruang parkir pesawat ditambah kepada 11 berbanding lima sebelum ini. Balai berlepas kini beroperasi di tingkat atas melalui jejambat manakala ruang ketibaan ditempatkan di tingkat bawah, mengurangkan kesesakan sebelum ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
LTSIP turut menyediakan sehingga 1,300 lot parkir bertingkat berbanding 350 sebelum dinaik taraf bagi memudahkan urusan menghantar dan menjemput penumpang.
Suhaimi berkata pihaknya juga merancang menyediakan kemudahan parkir bagi penumpang yang ingin meninggalkan kenderaan dalam tempoh tertentu dengan kadar bayaran berpatutan.
Beliau berkata pengoperasian penuh lapangan terbang itu tepat dengan peningkatan pergerakan penumpang menjelang Aidilfitri.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati ruang baharu, khususnya di bahagian daftar masuk lebih luas dan sistematik serta dihiasi tatarias gabungan seni bina tradisional Kelantan dan elemen Islamik.
Penumpang Norfazlina Mukahalan, 30, dari Selangor yang ke Kelantan sekurang-kurangnya lima kali setahun untuk menziarahi keluarga mentua berkata teruja dengan kemudahan baharu itu kerana mesra pengguna.
“Hari ini ialah kali pertama saya menikmati kemudahan baharu selepas dinaik taraf. Suasananya sangat berbeza (berbanding sebelum ini) dan selesa,” katanya.
Pelancong dari Xi’an, China yang mahu dikenali sebagai Houxiulie, 44, tidak menyangka Kota Bharu memiliki lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan menyifatkan kemudahan di LTSIP sebagai selesa serta sistematik.
Houxiulie berkata walaupun telah tiga kali ke Malaysia bersama-sama keluarga, namun ia kunjungan pertamanya ke Kelantan.
Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, tempat letak kenderaan bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang letak pesawat dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk kemudahan penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial