WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UK Pertimbang Bentang Rang Undang-undang Halang Bekas Putera Andrew Jadi Raja: Laporan

21/02/2026 11:04 AM

LONDON, 21 Feb (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan untuk membentangkan rang undang-undang bagi menyingkirkan bekas Putera Andrew daripada senarai pewarisan takhta diraja susulan kekecohan awam selepas beliau ditahan berikutan pendedahan baharu berkaitan pesalah seks Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media tempatan.

Kerajaan berhasrat untuk mengemukakan cadangan tersebut, yang akan menghalang Andrew Mountbatten-Windsor, gelaran rasminya sekarang, daripada menjadi raja, lapor BBC. 

Ahli politik UK menyuarakan bantahan terhadap bekas Putera Andrew selepas beliau ditahan pada Khamis atas syak wasangka salah laku dalam jawatan awam susulan pendedahan terbaharu dalam dokumen yang dikeluarkan di AS berkaitan Epstein, yang meninggal dunia dalam sel penjara pada 2019.

Ed Davey, ketua Parti Liberal Demokrat, berkata status bekas putera itu dalam turutan pewarisan takhta perlu diraja perlu dipertimbangkan.

“Jelas sekali ini adalah isu yang perlu dipertimbangkan oleh Parlimen pada masa yang sesuai, dan secara semula jadi pihak monarki mahu memastikan beliau tidak sekali-kali menjadi raja,” katanya dalam satu kenyataan.

Stephen Flynn, ketua Parti Nasional Scotland (SNP) di Westminster, memberitahu akhbar tabloid Britain The Sun bahawa orang ramai wajar berasa marah kerana seorang lelaki yang berbohong tentang berkawan dengan Epstein masih boleh menjadi ketua negara. 

Andrew Bowie, setiausaha bayangan Scotland daripada Parti Konservatif, berkata menyingkirkannya daripada senarai pewarisan takhta adalah langkah yang wajar.

“Jika beliau didapati bersalah, saya fikir Parlimen berhak mengambil tindakan untuk menyingkirkannya daripada turutan pewarisan,” katanya.

Tinjauan YouGov yang diterbitkan pada Jumaat menunjukkan 82 peratus rakyat Britain berpendapat Mountbatten-Windsor perlu disingkirkan sepenuhnya daripada turutan pewarisan takhta, berbanding hanya enam peratus yang berpendapat beliau harus kekal.

Kali terakhir terakhir turutan pewarisan takhta diubah melalui akta Parlimen ialah pada 2013 menerusi Akta Pewarisan Takhta yang mengembalikan hak individu yang sebelum ini dikecualikan kerana berkahwin dengan penganut Katolik.

Kali terakhir seseorang dikeluarkan daripada senarai pewarisan melalui akta parlimen adalah pada 1936, apabila bekas Raja Edward VIII dan keturunannya dikeluarkan berikutan turun takhta kerana keinginan baginda untuk berkahwin dengan Wallis Simpson, seorang janda. 

Pada Khamis, Mountbatten-Windsor, 66, ditahan oleh Polis Thames Valley sebelum dibebaskan 11 jam kemudian.

“Selepas penilaian menyeluruh, kami kini membuka siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam ini,” kata Penolong Ketua Konstabel Oliver Wright.

Bekas putera itu menafikan sebarang salah laku berkaitan Epstein.

Pada 9 Feb, selepas pengeluaran besar-besaran fail berkaitan Epstein dikeluarkan di AS bulan sebelumnya, polis memaklumkan mereka sedang menilai laporan dakwaan salah laku “selaras dengan prosedur sedia ada.”

Adinda kepada Raja Charles itu pernah berkhidmat sebagai utusan perdagangan UK dari 2001 hingga 2011. Beliau menarik diri daripada tugas diraja pada 2019 selepas hubungannya dengan Epstein didedahkan kepada umum.

Menurut pendedahan fail Januari, pada 7 Okt 2010, Andrew menghantar butiran lawatan rasmi beliau yang akan datang sebagai utusan perdagangan ke Singapura, Vietnam, Shenzhen di China dan Hong Kong kepada Epstein.

Pada 30 Nov, beliau didapati telah memajukan laporan rasmi lawatan tersebut - yang dihantar oleh pembantu khasnya ketika itu - kepada Epstein sejurus selepas menerimanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan