IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak melupakan keluarga angkatnya Beh Song Wan, dengan meneruskan tradisi tahunan meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama di Dewan Serbaguna Dato’ Haji Abdullah Ahmad, Hutan Melintang.
Beliau dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hari kedua perayaan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meluangkan masa dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan yang sentiasa dinantikan setiap tahun.
“Ini memang tradisi tahunan yang sentiasa saya nantikan. Di sinilah terjalinnya hubungan kekeluargaan yang telah terbina sekian lama, penuh kasih dan keikhlasan.
“Suasana sambutan ini dipenuhi gelak tawa, hidangan enak dan pelbagai topik perbualan yang membuatkan masa terasa berlalu begitu cepat ... benar-benar terasa seperti pulang ke rumah sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Beh yang lebih dikenali sebagai Bujang kerana saban tahun mengundang beliau meraikan perayaan berkenaan dengan sambutan penuh kemesraan.
“Semoga hubungan yang terjalin ini terus kekal erat dan diberkati, insya-Allah,” katanya.
Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina anjuran Bujang dan keluarga itu turut dihadiri rakan-rakan kepimpinan tempatan serta penduduk sekitar.
Turut diadakan persembahan tarian singa dan Ahmad Zahid juga meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial