KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam menghayati Ramadan dengan memahami tuntutan ibadah puasa dan amalan dalam bulan itu yang bukan semata-mata bagi memenuhi syarat dan rukun, sebaliknya mencapai matlamat hikmah dan objektif syariat.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata motivasi dalam melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan harus didorong dengan semangat mujahadah iaitu usaha melawan hawa nafsu, yang bukan sahaja untuk menggapai cita-cita ukhrawi.
Anwar berkata pada masa sama, ibadah yang dilaksanakan turut meningkatkan disiplin kendiri, keinginan bekerja dengan sepenuh hati dalam tugas serta tanggungjawab harian.
“Puncak kenikmatan di sebalik amalan ini adalah pencapaian takwa yang harus dilaksanakan dengan ibadah puasa melalui proses tarbiyah pembentukan watak, berakar kepada kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah SWT,” kata beliau.
Perdana Menteri turut memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadan yang mulia dan dirindui umat Islam.
Umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial