WILAYAH - UTARA > BERITA

Air Naik Hingga Paras Pinggang Dalam Tempoh 15 Minit - Mangsa

17/02/2026 03:29 PM

IPOH, 17 Feb (Bernama) -- Banjir kilat yang melanda Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein di sini malam tadi, berlaku begitu pantas menyebabkan kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.

Mangsa, Azad Ashraf Hawari, 31, yang merupakan penjaga Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Imam, Manjoi berkata air naik hingga ke paras pinggang dalam masa kira-kira 15 minit menyebabkan banyak barang termasuk kereta rosak ditenggelami air.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah dengan bantuan pihak bomba kami berjaya menyelamat anak-anak jiran termasuk kira-kira 20 anak yatim di sini termasuk warga emas” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azad Ashraf berkata pihak berkuasa juga telah menasihatkan penduduk untuk terus berjaga-jaga kerana dibimbangi berlaku kejadian sama susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlaku ribut petir petang ini.

Raihan Anwar, 59, pula berkata limpahan air kali ini sangat berbeza kerana ia datang dari dua arah serentak iaitu dari bahagian hadapan dan belakang kawasan perumahan sehingga menyebabkan air bertembung dan naik dengan cepat.

“Air melimpah dari belakang dulu kemudian dari depan. Selama lebih 30 tahun saya duduk sini, inilah banjir paling besar pernah berlaku.

“Situasi ini tidak dijangka sebab hujan turun dalam tempoh singkat. Beberapa hari lepas kawasan ini juga dilanda ribut kuat tetapi tidak menyebabkan banjir,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 26 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan jumlah mangsa yang kecil dan keadaan banjir yang masih terkawal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga memantau kawasan yang dilanda banjir susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan akan berlaku ribut petir di Perak pada 5 petang ini.

“Ia bukan gelombang kedua tetapi kalau kita tengok ramalan kaji cuaca mungkin akan ada ribut petir hari ini. Jadi kita minta penduduk bersiap sedia kerana bimbang kemungkinan banjir kilat seperti malam tadi,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu sebagai langkah mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku memandangkan hujan lebat dalam tempoh singkat sebelum ini telah menyebabkan limpahan air sungai dan banjir kilat di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan