WILAYAH - SELATAN > BERITA

Tourism Malaysia Rai Ketibaan Pelancong Di 13 Pintu Masuk Negara Sempena Tahun Baharu Cina

17/02/2026 03:11 PM

SENAI, 17 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelancong di 13 pintu masuk utama negara secara serentak sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai langkah strategik memperkukuh penjenamaan destinasi bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Program sambutan itu dijalankan di lapangan terbang utama dan lokasi strategik seluruh negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Subang, Pulau Langkawi, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak, dengan pengisian bercirikan tradisi perayaan bagi memberikan pengalaman ketibaan yang bermakna kepada pelawat domestik dan antarabangsa.

Di Johor, sambutan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai apabila pelancong yang tiba, termasuk dari Ho Chi Minh, Vietnam, disambut dengan persembahan tarian singa serta pemberian buah limau mandarin sebagai simbol tuah dan kesejahteraan, selain cenderamata rasmi TMM2026. 

Program itu turut dimeriahkan dengan upacara yee sang, hidangan tradisi  Tahun Baharu Cina dan penampilan maskot rasmi TMM2026, Wira dan Manja dengan busana bertemakan perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor K. Raven Kumar berkata pendekatan meraikan pelancong di pintu masuk negara mencerminkan komitmen Malaysia dalam menonjolkan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan utama sektor pelancongan.

“Sempena Tahun Baharu Cina hari ini, kita berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk menyambut pelancong yang datang dari Ho Chi Minh, Vietnam, sambil mengadakan sambutan yang meriah bagi mempamerkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia. 

“Kita mahu menggalakkan lebih ramai pelancong datang ke negara ini termasuk ke Johor, yang menampilkan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali sepanjang tahun,” katanya pada sidang media selepas program itu, di sini.

Beliau berkata inisiatif di pintu masuk antarabangsa memainkan peranan penting dalam meninggalkan kesan positif kepada pelawat, menggalakkan kunjungan berulang serta menyokong pertumbuhan mampan industri pelancongan negara.

Sambutan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Tourism Malaysia bagi memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi selamat, mesra dan kaya dengan kepelbagaian budaya, selaras dengan aspirasi TMM2026 serta Tahun Melawat Johor 2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), Kennedy Ayu dalam kenyataan Tourism Malaysia berkata lapangan terbang bukan sekadar hab pengangkutan, malah ia merupakan 'wajah pertama' bagi sesebuah destinasi.

“Melalui majlis sambutan seumpama ini, kita bukan sahaja menghargai kepelbagaian budaya Malaysia, malah berupaya mencipta pengalaman ketibaan yang eksklusif buat para pelawat yang berkunjung ke Johor,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan