WILAYAH - UTARA > BERITA

Tan Cheng Hock Lambang Keharmonian Kampung Warna Warni

17/02/2026 02:25 PM

KANGAR, 17 Feb (Bernama) -- Menjadi satu-satunya keluarga berbangsa Cina menetap di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis, maka tidak hairan pasangan itu sering menjadi tumpuan terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina. 

Mengusahakan kedai runcit di kampung berkenaan sejak 1981, Tan Cheng Hock, 74, dan isterinya Low Lan Yin, 74, menjadi simbol keharmonian dan memperkukuhkan lagi hubungan bersama masyarakat Melayu di situ umpama keluarga.

“Saya sudah lama buka kedai di sini. Dari dulu lagi orang kampung datang beli barang dan lama-kelamaan kami jadi macam keluarga. Hubungan baik yang terjalin dengan penduduk kampung membuatkan saya dan keluarga berasa selesa,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Warna Warni.

Tan dan isterinya juga tidak ketinggalan berkongsi buah limau dengan penduduk kampung setiap kali meraikan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun berlainan kaum dan agama, semangat hormat-menghormati sentiasa menjadi pegangan dalam kehidupan kami bermasyarakat. Kami saling memahami dalam apa jua keadaan seperti setiap kali perayaan dan kenduri,” katanya.

Tan berkata sokongan jiran tetangga dan suasana kampung yang harmoni menjadi faktor dia dan isteri betah menjalani kehidupan di kampung itu.

Tahun Baharu Cina kali ini dia dan keluarga menghias rumah secara sederhana dengan tanglung dan lampu berwarna-warni bagi memeriahkan suasana perayaan.

“Tiga anak lelaki saya berumur antara 36 hingga 40 tahun, masing-masing menetap di luar Perlis dan akan balik untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina, walaupun sederhana tetapi penuh kegembiraan,” katanya.

Jiran kepada Tan, Nor Sawani Sarudin, 19, berkata sejak kecil dia memanggil warga emas itu dengan panggilan “Uncle” dan menyifatkan keluarga Tan mencerminkan perpaduan utuh yang lama terjalin dalam kalangan penduduk Kampung Warna Warni.

"Uncle sering menyertai aktiviti kampung dan sentiasa bertegur sapa dengan penduduk tanpa mengira kaum. Setiap kali Tahun Baharu Cina, uncle tak pernah lupa beri buah limau atau biskut. Hubungan kami memang rapat sejak dulu,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan