WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ribuan Pengunjung Hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Di Sabah

17/02/2026 03:15 PM

KOTA KINABALU, 17 Feb (Bernama) -- Ribuan pengunjung daripada pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman diiringi isteri Toh Puan Faridah Tussin tiba di majlis tersebut pada 11 pagi disambut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri Datin Seri Juliah Salag.

Turut hadir barisan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, dan Datuk Ewon Benedick serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin selaku pengerusi penganjur.

Pada majlis itu, Musa, Hajiji dan barisan Kabinet kerajaan negeri turut beramah mesra serta menyantuni tetamu yang hadir.

Jafry berkata majlis itu yang berlangsung dari 10 pagi hingga 2 petang menyajikan pelbagai juadah serta pengisian persembahan kebudayaan.

“Penganjuran majlis ini merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam memupuk semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian antara kaum melalui sambutan perayaan secara bersama.

“Ia juga selaras dengan aspirasi membina masyarakat Sabah yang bersatu padu dan sejahtera, sekali gus mencerminkan keunikan dan kekayaan warisan budaya negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan