PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melepaskan ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan yang direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kira-kira RM900,000 dengan jaminan.
Sumber berkata dua lelaki berusia lingkungan 50-an yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lepas, selepas direman pada 12 Feb.
“Mereka dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai.
“SPRM kini sedang melengkapkan siasatan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihaknya turut menyita beberapa barangan berharga termasuk pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM57,000.
Dua individu itu ditahan pada 1 tengah hari 11 Feb ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM. Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan mereka direman selama lima hari.
Mereka juga dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Jan hingga 4 Feb tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial