WILAYAH - TIMUR > BERITA

Sembilan Jam Untuk Hasilkan "Kia Koi" Seberat 60 Kilogram 

16/02/2026 12:32 PM

PASIR MAS, 16 Feb (Bernama) -- Setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Wee Ah Liong dari Kampung Pasir Parit, Chekok di sini tidak menang tangan menerima tempahan kuih tradisional Kiam Koay atau dialek Kelantan dipanggil Kia Koi.

Warga emas berusia 80 tahun itu berkata kuih yang diwarisi daripada empat generasi terdahulu tetap menjadi pilihan ketika perayaan walaupun kebanyakan masyarakat Tionghoa, khususnya golongan muda sudah ramai tidak mengenali kuih tradisional ini.

Wee berkata Kia Koi seberat 60 kilogram (kg) ini mengambil masa selama sembilan jam untuk dihasilkan dan dia mewarisi pembuatan kuih itu daripada mendiang bapanya, Wee Sock Kui sejak 40 tahun lepas.

"Lazimnya, kuih ini dihasilkan sebanyak dua kali setahun, iaitu ketika Tahun Baharu Cina dan meraikan pertengahan tahun (musim luruh) pada September atau Oktober yang merupakan perayaan kedua terbesar.

"Saya akan membuka tempahan kepada pelanggan sebulan sebelum tibanya waktu perayaan. Permintaan agak banyak, namun saya tidak mampu memenuhi semua permintaan pelanggan kerana hanya boleh menyediakan kira-kira enam Kia Koi setiap kali perayaan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat Kampung Pasir Parit, Chekok di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada enam anak itu berkata proses pembuatan Kia Koi ini mengambil masa yang panjang dan memerlukan ketelitian sehingga menyebabkan dia terpaksa mengehadkan tempahan bagi menjamin mutu dan kualiti kuih yang dihasilkan.

"Saya hanya memiliki dua dapur pengukus berserta dua penutup khas yang ditempah khusus untuk menyiapkan kuih ini dengan setiap proses mengambil masa kira-kira sembilan jam dari mula hingga siap untuk mengekalkan rasa, tekstur dan aroma tradisionalnya," katanya.

Menceritakan proses pembuatannya, Wee berkata bagi menghasilkan satu Kia Koi seberat 60 kg, sebanyak 10 kg beras yang direndam bersama dengan air kapur dan garam perlu dikisar sebelum dimasak di dalam kuali besar untuk sementara waktu.

Katanya, selepas dimasak, adunan itu akan dimasukkan ke dalam bekas khas yang diletakkan di dalam kukusan sebelum dikukus selama sembilan jam dengan menggunakan dapur kayu bagi membangkitkan aroma kuih tradisional itu.

"Selepas sembilan jam, Kia Koi akan dibiarkan sejuk dengan berada pada suhu bilik selama dua hari sebelum diangkat serta dipotong mengikut permintaan pelanggan, iaitu pada harga RM12 sekilogram," katanya yang turut dibantu oleh isteri Ko Mek Gan, 76.

Wee berkata kuih Kia Koi bukan sekadar dimakan begitu sahaja sebagai pemanis mulut, namun boleh dipelbagaikan dengan mencampurkannya dalam masakan seperti mihun sup, kuetiau ladna dan sebagainya.

"Sekiranya ingin dijadikan menu ringkas, Kia Koi yang dipotong dalam saiz yang mudah dipegang boleh dicicah dengan sirap gula melaka atau kelapa parut, selain turut sesuai untuk dimakan dengan sup mahupun digoreng. Fleksibiliti ini menjadikan Kia Koi unik berbanding makanan tradisional lain.

"Saya berharap golongan muda akan terus meminati dan mewarisi pembuatan Kia Koi supaya kuih tradisional ini tidak lenyap ditelan zaman dan dapat dinikmati generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan