WILAYAH - SELATAN > BERITA

Hospital Pontian Dinaik Taraf Kepada Hospital Pakar Minor

15/02/2026 07:52 PM

PONTIAN, 15 Feb (Bernama) -- Hospital Pontian bakal dinaik taraf daripada hospital daerah kepada Hospital Pakar Minor menerusi pembinaan bangunan tambahan yang dijangka meningkatkan kapasiti serta mutu perkhidmatan kesihatan di selatan Johor, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ketika ini kadar penggunaan katil (BOR) Hospital Pontian sekitar 55 peratus berikutan statusnya sebagai hospital tanpa pakar, menyebabkan kebanyakan pesakit yang memerlukan rawatan pakar dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Dengan pembinaan bangunan tambahan 10 tingkat ini, Hospital Pontian akan dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor. Jumlah katil akan bertambah menjadi kapasiti keseluruhan 230 katil.

“Ia juga akan dilengkapi fasiliti kritikal moden seperti Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah serta unit imbasan CT dan MRI,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu Hospital Pontian yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Dzulkefly berkata projek itu akan memberi kesan berganda kepada sistem kesihatan di selatan negeri ini, bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk Pontian, malah membolehkan mereka mendapatkan rawatan pakar tanpa perlu ke Johor Bahru.

Katanya langkah itu juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI, selain disokong perancangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Skudai dalam masa terdekat.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam sidang media berasingan, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata projek bernilai RM400 juta itu kini berada dalam fasa fast track bagi mempercepat pembinaan, melibatkan empat blok utama termasuk blok kecemasan, blok hospital utama, blok tempat letak kereta dan blok kuarters. 

“Kita akan dapat satu kaedah fast track dari segi perancangan, reka bentuk dan saya jangkakan dalam tempoh beberapa bulan ini kita akan dapat memberikan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya.

“Seperti yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, sekiranya pembinaan hospital ini boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun kenapa perlu ditetapkan (tempoh pembinaan) empat tahun. Maka, tentunya kita akan mempercepatkan prosesnya (pembinaan),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan