WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cuti Panjang: Orang Ramai Pilih Pengangkutan Awam, TBS Jadi Tumpuan

15/02/2026 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Orang ramai terus memilih pengangkutan awam, khususnya bas, untuk pulang ke kampung bagi mengelakkan kesesakan sempena cuti sekolah, Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.

Tinjauan Bernama mendapati Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini kekal menjadi tumpuan utama untuk perjalanan pulang ke selatan dan pantai timur namun suasana hari ini terkawal dan tidak terlalu sesak dipercayai kerana sebahagian besar perantau telah pulang lebih awal semalam.

Pekerja swasta berasal Butterworth, Samuel Tan, 27, berkata beliau memilih menaiki bas untuk pulang menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga bagi mengelakkan tekanan memandu dalam kepadatan trafik.

Pada awalnya beliau merancang untuk menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) namun tiket habis dijual dalam tempoh singkat berikutan permintaan tinggi.

“Sepatutnya saya naik ETS, tapi tiket cepat habis. Jadi saya pilih naik bas sementara tiket masih ada. Sekurang-kurangnya tak perlu fikir pasal kesesakan dan boleh berehat sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di TBS hari ini.

Samuel berkata kemudahan yang lengkap serta sistematik di terminal itu turut memudahkan urusan perjalanan sekali gus menjadikan pengalaman pulang ke kampung lebih lancar walaupun pada waktu puncak.

Sementara itu, pelajar dari Johor Bahru, Tan Siew Ling, 21, berkata pengalaman terperangkap dalam kesesakan teruk tahun lepas mendorong beliau dan kakaknya membuat persiapan lebih awal kali ini.

Beliau berkata pada Tahun Baharu Cina tahun lepas mereka pulang dengan menaiki kereta namun perjalanan mengambil masa lebih lama daripada biasa.

“Tahun ini kami buat persediaan awal dan beli tiket bas lebih awal. Lebih tenang dan tak perlu risau tentang trafik,” katanya sambil menambah penggunaan pengangkutan awam juga lebih menjimatkan.

Bagi penjawat awam dari Kota Bharu, Kelantan, Atikah Rashid, 38, beliau mengambil peluang cuti panjang untuk pulang menyambut Ramadan bersama ibunya di kampung selepas sekian lama tidak berbuat demikian.

Katanya, walaupun suaminya tidak dapat bercuti, beliau tetap bersemangat membawa dua anak mereka pulang lebih awal bagi meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

“Dah lama tak pulang sambut Ramadan dengan mak di kampung. Alang-alang cuti panjang, saya ambil cuti terus supaya anak-anak pun dapat rasa suasana di sana,” katanya.

Menurut Atikah dengan adanya pengangkutan awam memudahkannya mengurus perjalanan bersama anak-anak tanpa perlu memandu jauh.

Cuti sekolah Kumpulan A bermula 15 hingga 19 Feb manakala Kumpulan B dari 16 hingga 20 Feb, bertindih dengan cuti Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Feb serta ketibaan 1 Ramadan yang dijangka jatuh pada 19 Feb, menjadikan tempoh berkenaan antara waktu puncak pergerakan pulang ke kampung.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan