KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Rahim & Co International Property Consultants Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik bersama Chestertons Global yang berpangkalan di United Kingdom bagi memperkukuh perkhidmatan hartanah di Malaysia dan seluruh dunia.
Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata kerjasama ini mewakili kerjasama visi, nilai dan kepakaran kedua-dua syarikat.
“Bersama-sama (melalui kerjasama ini) kami berhasrat untuk mencipta kekuatan dalam sektor hartanah, menggabungkan wawasan tempatan dan strategi global kami.
“Rahim & Co akan memanfaatkan teknologi, kemampanan dan aliran pasaran bagi menyesuaikan diri dengan landskap perundingan hartanah yang sentiasa berkembang,” katanya sewaktu berucap pada majlis pengumuman kerjasama di antara Rahim & Co dengan Chestertons Global di sini hari ini.
Menurut Rahim & Co, kerjasama ini dapat mengakses kepakaran mendalam dan sumber profesional Chestertons Global, memperluas keupayaannya bagi memperkenalkan penyelesaian hartanah inovatif di pasaran Malaysia.
Pada masa yang sama, katanya, Chestertons Global akan memanfaatkan kehadiran kukuh Rahim & Co di Asia Tenggara bagi meningkatkan daya saingnya di rantau ini.
“Kedua-dua syarikat juga akan meneroka inisiatif bersama untuk kemampanan dan tanggungjawab sosial selain mencerminkan komitmen untuk memberi impak positif kepada komuniti yang diberikan khidmat oleh mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Chestertons Global Mohamed Mussa berkata melalui kerjasama ini, syarikat hartanah yang berusia 220 tahun itu akan terus membina momentum dan memperkukuh kedudukannya di seluruh rantau Asia.
“Kami ingin mengalu-alukan kehadiran Rahim & Co dengan tangan terbuka dan berharap pada masa akan datang, kerjasama ini akan memperkukuh lagi kedua-dua organisasi.
“Dengan sumber, keupayaan dan komitmen yang digabungkan, kita dapat menjadi lebih kukuh bersama dan saya berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial