KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mengemukakan permohonan untuk menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dilaksanakan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia).
SME Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak RM117 juta diperuntukkan bagi melaksanakan lapan program merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman yang membantu penskalaan PMKS.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy berkata RMK13 (2026–2030) menetapkan agenda penskalaan untuk menaik taraf PMKS daripada kategori mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana, sebagai usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan saing.
"Sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah firma (bersaiz) sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030, yang dijangka berupaya melonjakkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar PMKS sehingga RM1 trilion," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan sempena Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung baru-baru ini, di sini.
Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan antara inisiatif untuk memperkukuh peranan SME Corp Malaysia sebagai pusat rujukan utama maklumat dan khidmat nasihat perniagaan yang memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta sejak dilaksanakan pada Januari 2024.
PMKS yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.smecorp.gov.my, saluran media sosial rasmi SME Corp Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di ibu pejabat dan 12 pejabat negeri di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial