KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) berperanan sebagai Pusat Sehenti sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi penganjuan pameran dan persembahan kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai agensi seni, budaya dan warisan negara di satu lokasi.
Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan inisiatif dengan kerjasama MaTiC itu bagi memperkenalkan kekayaan warisan, seni visual, kraftangan, gastronomi tradisional serta persembahan kebudayaan Malaysia kepada pelawat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh imej negara sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
Antara pengisian utama yang akan diketengahkan ialah pengenalan pelbagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara, pameran hasil kraftangan tempatan oleh Kraftangan Malaysia serta pameran karya seni artis tempatan oleh Balai Seni Negara.
Program itu turut menampilkan persembahan kebudayaan tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Istana Budaya, persembahan alat muzik tradisional Malaysia oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, demonstrasi urutan tradisional oleh Persatuan Spa Malaysia, selain pameran serta perkhidmatan sewaan busana tradisional.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata penubuhan Pusat Sehenti itu diharap dapat menjadi platform komprehensif yang membolehkan pelawat menikmati pengalaman menyeluruh merangkumi seni, budaya, warisan serta elemen kesejahteraan Malaysia dalam satu kunjungan, selari dengan aspirasi VM2026.
Pameran dan aktiviti jualan dibuka kepada orang ramai setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang, manakala persembahan kebudayaan diadakan setiap hari mengikut jadual ditetapkan.
Orang ramai serta pelawat dijemput mengunjungi MaTiC bagi merasai keunikan warisan dan kekayaan kebudayaan Malaysia. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang MaTiC di www.matic.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial