WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Ulangi Komitmen Untuk Kekal Sebagai Pembekal Minyak Sawit Boleh Dipercayai Ke India

08/02/2026 03:00 PM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengulangi komitmen Malaysia untuk kekal sebagai pembekal minyak sawit mampan yang boleh dipercayai kepada India.

Justeru, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, menggalakkan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam penanaman kelapa sawit.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk kerjasama dalam pembangunan rantaian nilai minyak sawit, termasuk produk hiliran berasaskan sawit bernilai tinggi.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan libat urus berstruktur mengenai penyelesaian bagi perkara melibatkan akses pasaran,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA).

Anwar dan Modi menyambut baik semakan berterusan terhadap AITIGA untuk menjadikannya saling menguntungkan, memudahkan perdagangan dan relevan dengan amalan perdagangan global semasa.

“Kedua-dua pemimpin juga menghargai MICECA atas potensinya untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan menggalakkan penggunaannya secara optimum,” katanya.

Dalam pada itu, Modi menekankan peranan India sebagai destinasi pelaburan utama bagi syarikat Malaysia, manakala Anwar mengalu-alukan kehadiran penting syarikat pembuatan dan teknologi India yang telah menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Kedua-dua pemimpin itu mengakui bahawa ketersambungan merupakan penentu utama dan pemboleh untuk kerjasama ekonomi yang dipertingkatkan. Sehubungan itu, mereka menghargai ketersambungan udara dan maritim yang semakin meningkat antara kedua-dua negara dan bersetuju untuk memperkukuhnya lagi, katanya.

--  BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan