WILAYAH - SARAWAK > BERITA

India Akan Pertingkat Kerjasama Dengan Malaysia Dalam Ekonomi Digital, Semikonduktor

08/02/2026 01:27 PM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- India akan mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan Malaysia terutamanya dalam sektor ekonomi digital dan semikonduktor, kata Perdana Menteri Narendra Modi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kerjasama merentasi beberapa sektor strategik telah mendapat momentum yang kukuh.

“Rakan saya, Anwar telah memainkan peranan penting dalam hal ini. Kerjasama kita dalam tenaga, infrastruktur dan pembuatan telah kukuh, manakala kerjasama dalam ekonomi digital, bioteknologi dan teknologi maklumat telah memacu pelaburan bersama yang lebih tinggi,” kata Modi pada sidang media bersama dengan Anwar di sini hari ini.

Beliau kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia dari 7 Februari hingga hari ini sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos, 2024.

Modi berkata pelancongan dan pertukaran rakyat dengan rakyat juga terus diperkukuh dan kedua-dua pihak kini bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama mereka.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perdagangan dua hala Malaysia-India dijangka berkembang melebihi AS$18.59 bilion, dicatatkan tahun lepas.

Eksport Malaysia berjumlah RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion) dan import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion) pada 2025 dengan item eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik, manakala import, kebanyakannya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

--  BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan