BANGI, 7 Feb (Bernama) -- Proses pemberian markah kepada 14 kementerian yang dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal akan dijalankan pada bulan hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata setiap ketua setiausaha kementerian (KSU) terlibat akan dipanggil untuk dimaklumkan mengenai markah yang diperoleh berdasarkan demerit, akibat kegagalan melaksanakan projek pembangunan.
“Penghujung bulan depan, saya akan mula beri markah kepada 14 (kementerian) yang gagal ini. Saya akan panggil setiap KSU untuk maklumkan apa markah yang dapat berdasarkan demerit atas kegagalan melaksanakan projek pembangunan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Permukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) Tahun 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Pada 15 Jan lepas, Shamsul Azri berkata sejumlah 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan pada tahun lepas.
Beliau berkata status perbelanjaan pembangunan projek di bawah kementerian itu mencatat 87.91 peratus, iaitu berada di bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial