WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Litar SIC, 'Digemari Dan Digeruni Adik-Beradik Marquez

07/02/2026 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pelumba MotoGP, dengan sesetengah menyifatkan litar di Malaysia itu sebagai “kegemaran”, manakala yang lain menganggapnya sebagai litar paling “tidak mengenal kompromi” dalam kalendar kejuaraan dunia.

Menjelang berakhirnya sesi ujian musim sejuk pramusim bagi saingan 2026, pelumba memuji litar sepanjang 5.543 kilometer itu sebagai antara litar paling teknikal dan mencabar dalam sukan permotoran dunia.

Penyandang juara dunia Marc Marquez yang mengetuai pasukan Ducati Lenovo mengakui Sepang tetap menjadi cabaran besar meskipun beliau mempunyai rekod cemerlang sepanjang karier.

Pelumba Sepanyol itu menamakan litar tersebut sebagai salah satu lokasi yang paling “digeruni” baginya kerana susun atur litar yang kurang sesuai dengan gaya tunggangan agresifnya.

“Sejujurnya, ini antara litar yang paling sukar bagi saya. Ada beberapa susun atur yang saya benar-benar bergelut, termasuk di sini dan Catalunya. Saya tidak begitu gemar dengan susun atur ini walaupun saya selesa berada di Malaysia,” katanya pada pelancaran musim MotoGP 2026 di Menara Berkembar Petronas di sini, hari ini.

Walaupun berdepan cabaran sebelum ini di Sepang, juara tujuh kali MotoGP itu berkata beliau tidak terasa tertekan untuk mempertahankan gelaran.

“Saya tidak rasa tertekan kerana cabaran paling besar dalam karier saya, iaitu kembali daripada kecederaan, sudah dilalui. Saya akan beri 100 peratus untuk memenangi kejuaraan kerana itu tujuan kami bersama Ducati Lenovo, tetapi saya rasa tenang dan gembira,” katanya.

Sebaliknya, adiknya Alex Marquez dari pasukan BK8 Gresini melihat litar Sepang sebagai antara kegemarannya.

Selepas menguasai GP Malaysia tahun lepas, Alex memasuki musim baharu dengan keyakinan tinggi selepas mencatat masa terpantas dalam sesi ujian musim sejuk, kelmarin.

“Ini antara litar kegemaran saya. Saya sudah mencatat banyak keputusan baik di sini, dan saya rasa sangat selesa di Sepang. Saya memenangi gelaran Moto2 di sini, jadi litar ini ada tempat istimewa dalam hati saya,” katanya.

Alex turut menekankan keunikan semangat penyokong tempatan, yang berbeza dengan peminat di Eropah.

“Penyokong Asia sangat bising, bersemangat dan ‘gila’ dengan cara yang kami sukai. Peminat Eropah juga bising, tetapi lebih tenang. Kami seronok dengan kedua-dua suasana ini sepanjang musim,” katanya.

MotoGP Malaysia telah menjadi acara tetap di SIC sejak 1999, kecuali pada musim 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

Musim 2026 dijangka menyaksikan kehadiran penonton yang tinggi berikutan persaingan sengit antara dua beradik Marquez di pentas dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan