MELAKA, 7 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka memperkenalkan Program Perkhidmatan Penilaian, Rujukan dan Penaksiran Perkembangan Kanak-Kanak (CERDAS) yang menawarkan saringan perkembangan awal kanak-kanak di Klinik Kesihatan Seri Tanjung di sini mulai Januari lepas.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengesanan awal dan rawatan kanak-kanak berkeperluan khas dengan masalah perkembangan seperti autisme, kelewatan pertuturan, masalah pendengaran, dan gangguan pertumbuhan.
Beliau berkata Program CERDAS melibatkan pemeriksaan dan penilaian oleh pakar kanak-kanak, pakar pertuturan, dan pakar psikiatri dengan kerjasama klinik kesihatan serta Hospital Melaka sebelum diagnosis dan rawatan diberikan.
"CERDAS merupakan program pertama seumpamanya di negeri ini melalui inisiatif Jabatan Kesihatan Melaka bagi memastikan setiap anak di negeri ini membesar dengan sihat, aktif, dan seimbang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan MADANI Jom Sihat 2026 yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Setakat ini, Dr Ruzita berkata lapan kanak-kanak di Melaka telah disaring melalui program berkenaan, dan beberapa daripada mereka telah dirujuk untuk penilaian lanjut serta menerima intervensi awal mengikut keperluan perkembangan.
Beliau berkata saringan pengesanan awal itu boleh dilakukan ke atas anak-anak berusia dua tahun ke atas, dan ibu bapa boleh terus ke Klinik Kesihatan Seri Tanjung tanpa perlu mendapat rujukan daripada klinik lain.
“Proses ini bukan sahaja memudahkan ibu bapa malah mengurangkan masa menunggu untuk mendapatkan saringan dan rawatan.
“Kini, untuk mendapatkan janji temu di Klinik Pertuturan Hospital Melaka mengambil masa yang lama hingga setahun kerana kekangan dari segi pakar yang membuat pemeriksaan. Dengan CERDAS, tempoh menunggu lebih pendek berbanding prosedur di klinik kesihatan lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial