WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perlis Catat Lonjakan Kes Kebakaran Terbuka Pada Jan 2026

05/02/2026 06:11 PM

KANGAR, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis merekodkan 183 kes kebakaran sepanjang Januari tahun ini, meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 57 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah JBPM Perlis Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata peningkatan itu antaranya disebabkan pembakaran terbuka dalam keadaan cuaca panas dan kering pada masa ini yang menyebabkan api mudah merebak.

"Cuaca kering menjadikan kawasan berumput, belukar dan tanah terbiar sangat mudah terbakar malah api juga cepat merebak terutama jika berlaku pembakaran terbuka yang tidak terkawal.

"Daripada jumlah kebakaran yang direkodkan bulan lepas, 137 kes melibatkan kebakaran belukar dan lalang, manakala selebihnya membabitkan kebakaran struktur merangkumi kejadian seperti kebakaran rumah dan premis perniagaan serta lain-lain kebakaran kecil.

"Kebakaran kecil melibatkan insiden seperti kebakaran pada tiang elektrik dan kemudahan awam berskala kecil," katanya pada sidang media selepas perbarisan tahunan JBPM Perlis bagi tahun ini di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang cuaca panas ketika ini bagi melindungi keselamatan penduduk serta alam sekitar.

"JBPM Perlis akan terus mempergiat pemantauan serta tindakan penguatkuasaan di kawasan berisiko bagi mengekang peningkatan kebakaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Hamizi berkata purata masa tindak balas JBPM Perlis bagi Januari tahun ini ialah 9 minit 36 saat, iaitu sedikit lebih baik berbanding 9 minit 46 saat yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

"JBPM Perlis mengendalikan 400 kes kebakaran sepanjang tahun lepas selain 308 operasi penyelamatan dan tiga tugas khas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan