KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan berhubung kes rasuah melibatkan beberapa petugas Penjara Bintulu, Sarawak yang ditahan semalam.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan media tentang operasi yang dijalankan oleh SPRM itu dan memandang serius dakwaan salah laku serta rasuah yang mengaitkan anggota terlibat.
“Jabatan Penjara Malaysia menghormati proses siasatan dan akan melaksanakan tindakan lanjut pada peringkat jabatan berdasarkan hasil siasatan dan perundangan yang berkaitan.
“Jabatan Penjara Malaysia komited untuk mengekalkan tahap integriti, profesionalisme dan tadbir urus yang tinggi dalam perkhidmatan serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, jabatan berkenaan memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan proses siasatan tidak terjejas dan berjalan lancar.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap laporan media berkenaan operasi SPRM berskala besar di Penjara Bintulu yang membawa kepada penahanan reman beberapa pegawai penguat kuasa.
Semalam, media melaporkan sebanyak 11 pegawai agensi penguat kuasa di Bintulu direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM239,000.
Kesemua suspek yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun itu disyaki menerima wang suapan daripada ahli keluarga banduan antara 2020 hingga 2025 sebagai balasan untuk menjaga keselamatan serta memudahkan urusan banduan terbabit di dalam penjara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial