WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Selangor Tumpaskan Sindiket Penipuan Dalam Talian

04/02/2026 01:32 PM

SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan kerja sambilan serta pelaburan saham kepada mangsa di luar negara, hasil serbuan di tiga premis di Kajang, Seri Kembangan dan Puchong bulan lepas. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Selangor bersama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, sebanyak 20 individu berusia 25 hingga 36 tahun ditahan termasuk seorang warga tempatan.

Beliau berkata polis turut merampas peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti itu terdiri daripada 42 telefon bimbit, 20 komputer, empat unit WiFi mudah alih, dua komputer riba, dua modem dan satu router dinaggar bernilai RM85,000. 

“Modus operandi sindiket ialah menawarkan kerja sambilan, pelaburan saham dan peluang menjana pendapatan melalui platform digital sebelum mangsa diarah membuat bayaran tertentu.

“Ahli sindiket berperanan sebagai operator yang akan berhubung dengan mangsa melalui aplikasi media sosial serta laman web bagi meyakinkan mangsa untuk membuat pelaburan atau menyertai tawaran kerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Shazeli berkata dalam serbuan pertama pada 23 Jan lepas di Bandar Sungai Long, Kajang, polis menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 33 tahun.

“Sindiket yang beroperasi sejak Disember 2025 itu menyasarkan warga Australia dan Itali melalui tawaran kerja sambilan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 26 Jan di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, polis menahan sembilan lelaki warga asing berusia 27 hingga 35 tahun manakala sindiket dipercayai aktif sejak November 2025 dengan menyasarkan warga China melalui pelaburan saham dalam talian.

Dalam serbuan ketiga pada 28 Jan di Bandar Puteri, Puchong pula, lima warga asing berusia 25 hingga 36 tahun terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan.

Sindiket itu, katanya beroperasi sejak Disember lepas dengan menyasarkan warga Pakistan melalui tawaran kerja sambilan di TikTok.

Beliau berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

"Bagi kes di Bandar Sungai Long, semua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan didenda RM2,500 setiap seorang manakala tangkapan lain direman antara lima hingga tujuh hari,” katanya sambil menambah mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif terhadap dadah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan