Oleh Zaphne Philip
KUCHING, 4 Feb (Bernama) -- Pengalaman berdepan masalah ekzema kronik menjadi pencetus kejayaan seorang usahawan wanita berbangsa Iban dari Kampung Melugu, Sri Aman dalam mengangkat produk penjagaan kulit berasaskan bahan semula jadi ke peringkat antarabangsa.
Sulie Lungkan Abell, 37, pengasas Sluvi, jenama penjagaan kulit yang ditubuhkan pada 2018, berkata tujuan awal beliau menghasilkan produk tersebut sekadar untuk mencari penyelesaian terhadap masalah kulit sensitif dan ekzema dihidapinya.
Seiring masa, beliau berkata inisiatif itu berkembang menjadi perusahaan sosial yang turut berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan pendapatan komuniti petani tempatan, khususnya di Sarawak.
“Perjalanan jenama ini bermula sejak 2015 apabila saya mengalami ekzema kronik dan gagal dirawat menggunakan pelbagai produk komersial, termasuk jenama mahal dari luar negara.
“Ubat doktor membantu cuma untuk sementara dan tidak sesuai untuk penggunaan jangka panjang. Saya dinasihatkan mencari alternatif iaitu produk berasaskan bahan semula jadi tetapi saya dapati banyak produk ‘natural’ di pasaran sebenarnya mengandungi bahan semula jadi yang minimum,” katanya kepada Bernama.
Berbekalkan penyelidikan sendiri melalui jurnal akademik dan sumber saintifik, Sulie mula bereksperimen menggunakan bahan semula jadi, termasuk tanaman daripada kebun miliknya hingga berjaya menemukan formula yang serasi dengan kulit sensitif.
“Hasilnya sangat berbeza, tiada kegatalan, iritasi atau pendarahan. Kulit saya semakin pulih dan perubahan itu disedari oleh keluarga serta rakan-rakan,” katanya sambil menambah maklum balas positif dan testimoni awal mendorong beliau mengkomersialkan formula tersebut demi membantu lebih ramai individu berdepan masalah kulit sama.
Lebih daripada sekadar produk penjagaan kulit, Sluvi dibangunkan sebagai perniagaan sosial yang menyokong rantaian bekalan tempatan.
Malah beliau berkata, pilihan nama Sluvi juga mempunyai signifikan tersendiri dengan ‘Slu’ merujuk kepada inisial pengasas manakala huruf ‘v’ dan ‘i’ membawa maksud visi dan inisiatif, sekali gus melambangkan misi sosial yang menjadi teras perniagaan berkenaan.
Sulie berkata pertemuan dengan petani kampung, termasuk penternak madu kelulut turut membuka mata apabila mendapati pendapatan mereka ketika itu kurang RM200 sebulan.
“Semua bahan mentah produk Sluvi diperoleh terus daripada petani tempatan dan diproses dengan tangan. Kami tidak mengikat petani secara eksklusif, sebaliknya mereka bebas menjual hasil kepada pihak lain,” jelasnya.
Kini, Sluvi bekerjasama dengan 10 keluarga petani dari kawasan Simanggang, Melugu, Lachau dan Banting dengan fokus kepada bahan seperti madu kelulut, halia, beras, bunga mawar dan aloe vera.
Hasil kerjasama itu, pendapatan petani meningkat kepada RM1,000 hingga RM4,000 sebulan, selain menerima latihan penanaman organik dan penternakan kelulut melalui bengkel bersama agensi kerajaan.
Beliau berkata antara produk yang dihasilkan ialah Sabun Madu Kelulut yang mengandungi propolis dan sesuai digunakan pada muka serta badan oleh semua peringkat umur termasuk bayi dan individu berkulit sensitif atau ekzema.
Produk lain termasuk Rosewater and Aloe Toner, Lemon Coffee Body Scrub, Green Tea Face Mask, Rice Face Mask dan Borneo Loofah, dijual dengan harga RM25.
Usaha Sulie dalam mengangkat produk penjagaan kulit berasaskan bahan semula jadi tidak sia-sia apabila beliau mendapat pengiktirafan dan disenaraikan dalam Malaysia’s Most Successful Innovative and Influential Young People (Under 40) oleh Prestige Malaysia pada 2021.
Baru-baru ini, beliau turut menyertai Social Enterprise World Forum di Taiwan bagi memperkenalkan Sluvi kepada pemain global perusahaan sosial.
Sulie berkatar 60 peratus pelanggan Sluvi adalah dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Brunei dan United Kingdom.
“Ini membuktikan produk tempatan berkualiti tinggi mampu bersaing di pasaran global,” katanya yang mahu membangunkan ekosistem ladang bersepadu bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta menjamin kelestarian ekonomi untuk komuniti setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial