WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inkues Zara: Video, Gambar Tunjuk Hubungan "Pelajar A" Dan Zara Qairina

03/02/2026 02:26 PM

KOTA KINABALU, 3 Feb (Bernama) -- Inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir hari ini meneliti keterangan berkaitan dua rakaman video dan dua keping gambar dikemukakan di Mahkamah Koroner di sini, yang memperlihatkan hubungan arwah dengan ‘Pelajar A’.

Bahan visual itu dikemukakan peguam Shahlan Jufri semasa sesi menyoal ibu Pelajar A, iaitu seorang daripada lima pelajar didakwa menghina Allahyarham, yang kemudiannya diminta mengenal pasti individu dalam kedua-dua video serta gambar tersebut.

Saksi berusia 42 tahun itu mengesahkan bahawa Pelajar A dan Allahyarham Zara Qairina berada dalam kedua-dua video dan gambar berkenaan.

Menurut saksi, beliau tidak pernah melihat bahan visual berkenaan sebelum ia ditunjukkan di mahkamah dan hanya dimaklumkan oleh anaknya bahawa Pelajar A pernah merakam video TikTok bersama arwah, tanpa mengetahui jumlah atau kandungan rakaman tersebut.

Berdasarkan pemerhatian terhadap rakaman dimainkan di mahkamah, saksi bersetuju bahawa pelajar-pelajar yang terlibat, termasuk Pelajar A dan Zara Qairina, kelihatan ceria.

“Pelajar A pernah beritahu saya dia buat video TikTok bersama arwah Zara Qairina. Itu sahaja. Berapa kali atau berapa banyak rakaman, saya tidak tahu. Dalam video, kesemua pelajar kelihatan gembira dan ceria,” katanya.

Saksi ke-62 itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi turut bersetuju bahawa rakaman video sedemikian lazimnya memerlukan perbincangan atau persetujuan antara pelajar sebelum ia dirakam, dan sukar untuk menghasilkan rakaman tersusun tanpa kerjasama semua pihak terlibat.

Bagaimanapun, saksi itu menegaskan bahawa bahan visual tersebut tidak menggambarkan sepenuhnya keadaan dialami oleh anaknya sebelum itu, dan menjelaskan aduan-aduan terdahulu dibuat berdasarkan perbualan telefon serta maklumat diterima pada waktu kejadian.

Dalam keterangan sama, saksi mendakwa Zara Qairina membuli anaknya pada peringkat awal persekolahan, termasuk melalui herdikan, tuduhan berkaitan kebersihan asrama serta dipulau rakan lain.

Pada prosiding semalam, ibu kepada Pelajar A, memaklumkan bahawa beliau menerima gangguan melalui aplikasi WhatsApp daripada ibu arwah berhubung kenyataan polis.

Saksi mendakwa ibu Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat, mengarahkannya untuk menafikan kenyataan Pelajar A kepada polis serta menghubungi pegawai penyiasat secara terus.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025 iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos 2025 telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Inkues bersambung pada 2 petang ini dengan keterangan saksi ke-63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan