WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kanak-kanak Hilang Di Daro Ditemukan Lemas 

02/02/2026 09:03 PM

KUCHING, 2 Feb (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Daro semalam, ditemukan meninggal dunia petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jasad kanak-kanak itu dijumpai terapung berhampiran Kampung Lemang Pek pada pukul 4 petang.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjumpai mangsa kemudiannya memaklumkan pihak polis bagi proses pengecaman. Mangsa kemudian dibawa ke jeti di Kampung Panchor dan seterusnya dibawa ke hospital.

“Operasi SAR ditamatkan pada pukul 4.45 petang,” menurut kenyataan itu.

Semalam, JBPM Sarawak memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Daro di Kampung Panchor, Daro.

Menurut laporan JBPM Sarawak, mangsa dipercayai keluar sendiri melalui pintu belakang rumah tanpa disedari ibu dan bapanya.

Bapa kanak-kanak itu kemudian menemui kesan tapak kaki anaknya menuju ke sungai kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum menghubungi pihak bomba.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan