WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Miliki Tujuh Tapak Ramsar Bukti Komitmen Malaysia Pulihara Tanah Lembap - Arthur

02/02/2026 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) --  Malaysia wajar berbangga dengan tujuh tapak tanah lembap yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Ramsar, sekali gus mencerminkan komitmen komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam memulihara ekosistem tanah lembap negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pengiktirafan itu melibatkan Tasek Bera di Pahang yang diiktiraf pada 1994; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor pada 2003; serta Kuching Wetlands National Park di Sarawak pada 2005.

Turut tersenarai Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah yang masing-masing diiktiraf pada 2008 dan 2016.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini bersempena dengan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut pada 2 Feb setiap tahun.

Arthur berkata ekosistem tanah lembap menawarkan nilai pemuliharaan yang tinggi merangkumi manfaat ekonomi daripada sumber alam dan pelancongan, serta fungsi ekosistem yang penting seperti tebatan banjir, tadahan air, perlindungan pesisir pantai dan simpanan karbon.

Sebagai tanda komitmen negara kepada pemuliharaan dan penggunaan bijak tanah lembap, Malaysia telah menganggotai Konvensyen tanah lembap atau dikenali sebagai Konvensyen Ramsar pada 1994.

Beliau berkata Konvensyen Ramsar ialah perjanjian multilateral alam sekitar moden yang tertua sejak 1971 dan mempunyai 172 negara ahli (Contracting Parties).

“Sebagai sebahagian obligasi negara-negara anggota, sebanyak 2,546 tanah lembap berkepentingan antarabangsa atau tapak Ramsar telah diiktiraf di seluruh dunia sehingga 2025,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia tahun ini, Arthur berkata tema dipilih ialah Tanah Lembap dan Ilmu Tradisi: Meraikan Warisan Budaya untuk mengetengahkan hubungan mendalam antara tanah lembap dengan amalan budaya, tradisi dan sistem pengetahuan komuniti di seluruh dunia.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai pusat rujukan kebangsaan kepada Konvensyen Ramsar di Malaysia sentiasa komited dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk memulihara ekosistem tanah lembap, selaras dengan matlamat dan sasaran Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan