KULIM, 31 Jan (Bernama) -- Peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pimpinan agensi penguat kuasa melaksanakan pembaharuan disifatkan sebagai tepat pada masanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peringatan itu juga boleh dijadikan panduan berguna kepada agensi-agensi terlibat dalam membanteras ketirisan hasil negara serta mengekang ancaman keselamatan.
“Bayangkan agensi penguat kuasa yang terbabit dengan kawalan sempadan dan perairan negara, ini kerana mereka terdedah kepada ancaman penyeludupan senjata, pendatang tanpa izin, pelarian, dadah, aktiviti perikanan haram serta pencerobohan nelayan asing.
“Jadi, insiden-insiden seperti pelanunan, walaupun tidak besar, namun harus sentiasa dikawal. Selain itu, terdapat juga penyeludupan keluar barangan keperluan seperti beras, minyak masak, petrol dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Kulim kepada mangsa banjir di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka dan menyambut baik peringatan itu serta akan memastikan hasrat Perdana Menteri diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
“Apabila Perdana Menteri memberi peringatan, saya kemudiannya menyampaikannya kepada ketua-ketua agensi dalam mesyuarat susulan dan menerangkan apa sebenarnya yang dihasratkan Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kesediaan untuk terus menggalas tanggungjawab itu boleh disampaikan kepada beliau sendiri, menteri atau ketua jabatan masing-masing.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 302 ketua isi rumah yang terkesan akibat bencana banjir di daerah Kulim pada 23 hingga 27 Okt tahun lepas menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000, dengan jumlah keseluruhan RM302,000.
“Ini terjemahan kepada kepimpinan Kerajaan MADANI, yang antara nilai terasnya ialah ihsan, iaitu menunjukkan rasa kasih sayang, simpati dan empati kepada rakyat yang ditimpa ujian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial