GEORGE TOWN, 31 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah dari kapal ke kapal bernilai lebih RM512 juta di perairan negeri berkenaan pada Khamis lepas.
Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot peronda marin menerima aduan pada 1 pagi memaklumkan terdapat dua kapal tangki bersauh pada kedudukan 24 batu nautika barat laut Muka Head dan disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak.
“Kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah melibatkan 53 kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.
“Nilai rampasan minyak mentah berjumlah lebih RM512 juta manakala nilai rampasan kedua-dua kapal tangki itu ialah RM718 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffi berkata susulan itu dua kapten kapal serta vesel berkenaan ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial