WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jualan Program Agro MADANI Cecah RM13.25 Juta Dalam Tempoh 25 Hari

31/01/2026 02:27 PM

KUANTAN, 31 Jan (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam tempoh 25 hari pertama tahun ini dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM13.25 juta.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata sebanyak 250 program dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh itu melibatkan penyertaan 5,527 usahawan tempatan dan kehadiran 440,000 pengunjung.

“Sepanjang tempoh itu, nilai jualan terkumpul mencecah RM13.25 juta dan memberikan penjimatan kepada rakyat sebanyak RM1.76 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI Pahang di sini hari ini.

Pada tahun lepas, nilai jualan program itu mencatatkan RM84.14 juta membabitkan penjimatan rakyat  dianggarkan lebih RM25 juta menerusi 4,300 program yang melibatkan 61,891 usahawan tempatan dan menarik 2.63 juta pengunjung.

Beliau berkata setiap penganjuran Program Jualan MADANI mendapat sambutan menggalakkan apabila kehadiran pengunjung mencapai 100 peratus sekali gus melebihi sasaran ditetapkan.

Aminuddin berkata berikutan permintaan tinggi terhadap penganjuran Karnival Jualan Agro MADANI bagi sesi 2025/2026 yang dijadualkan berakhir di Melaka pada Mac ini, program itu dijangka akan diperluas dan diteruskan.

Beliau berkata selepas ini, program akan ditumpukan sesuai dengan sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Syawal.

Beliau berkata karnival seumpama itu perlu lebih kerap dilaksanakan kerana antara inisiatif utama yang membolehkan rakyat menikmati penjimatan berbanding penganjuran secara bermusim atau sekali sekala.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan