WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Mahu Aspek Penguatkuasaan Diberi Perhatian Serius Oleh Jemaah Menteri - Fahmi

30/01/2026 05:44 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan supaya beberapa isu utama, khususnya melibatkan aspek penguatkuasaan seperti dibangkitkan sebelum ini, diberi perhatian dan penegasan serius oleh seluruh anggota Jemaah Menteri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata langkah itu perlu susulan penelitian terhadap beberapa tindakan oleh badan penguatkuasaan mendapati wujud pendekatan tertentu yang dilihat kurang membantu dalam memperkukuh kepercayaan awam.

“Ini kerana kalau kita lihat beberapa tindakan telah diambil oleh badan penguatkuasaan menunjukkan mungkin tidak begitu membantu.

“Ia dapat menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan menyampaikan peringatan itu kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi memastikan aspek integriti diperkemas dan tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Anwar pada Rabu telah memberikan amaran bahawa kerajaan tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang tidak ditangani dengan serius, sambil menegaskan Malaysia perlu diselamatkan daripada pelbagai kegiatan merosakkan integriti pasukan penguatkuasaan serta menjejaskan ekonomi negara.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri pada majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Jabatan, Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan baru-baru ini.

Memberikan contoh kes terkini melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Fahmi berkata kerajaan tidak akan campur tangan sebaliknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan.

“Di pihak Jemaah Menteri kita tidak mengambil apa-apa tindakan, ini adalah tindakan daripada badan penguatkuasaan seperti SPRM,” katanya.

Media melaporkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah Alam Sekitar dan seorang Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik.

Kes disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan