WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerjasama Maritim, Garis Masa Coc Jadi Tumpuan Permukiman AMM

28/01/2026 06:27 PM

CEBU CITY (Filipina), 28 Jan (Bernama) -- Isu kerjasama maritim dan usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan menjelang garis masa 2026 dijangka menjadi agenda utama Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di sini.

Jawatankuasa Hal Ehwal Media dan Komunikasi Strategik ASEAN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mesyuarat dua hari yang bermula pada Rabu turut dijangka membincangkan inisiatif berkaitan kecerdasan buatan (AI), program berpusatkan belia dan rakyat, serta persiapan bagi Ulang Tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC).

"Penganjuran Permukiman AMM oleh Filipina ini menekankan komitmennya dalam mendukung perpaduan dan kepusatan ASEAN, sekali gus memastikan ia menjadi sebuah rantau yang stabil, bersepadu, terangkum, mampan serta berpaksikan rakyat.

"Sesi permukiman itu akan memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai keutamaan Pengerusi ASEAN Filipina serta hasil boleh serah di bawah tema 'Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama'," menurut kenyataan itu.

Sepanjang mesyuarat itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN juga akan meneliti hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 2025, selain bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global yang memberi kesan kepada rantau ini.

Permukiman AMM merupakan mesyuarat peringkat menteri utama yang pertama di bawah kepengerusian Filipina bagi tahun 2026. Ia dipengerusikan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Ma. Theresa P. Lazaro dan menghimpunkan menteri luar serta pegawai kanan dari seluruh rantau ini dengan penyertaan kira-kira 200 delegasi.

Dalam kenyataan berasingan, jawatankuasa itu memaklumkan situasi di Myanmar turut akan dibincangkan oleh menteri-minteri berkenaan semasa permukiman itu.

Ini termasuk rundingan tidak rasmi mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC), yang mencerminkan komitmen berterusan ASEAN dalam menyokong penyelesaian aman dan inklusif menerusi dialog dan penglibatan semua pihak.

Sesi permukiman ini memberi peluang kepada menteri-menteri luar untuk menyelaraskan keutamaan ASEAN bagi tahun ini, menyemak hasil sidang kemuncak terdahulu, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu penting di peringkat serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan