WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indeks Harga Pengeluar Malaysia Susut 2.7 Peratus Pada Disember 2025 - DOSM

28/01/2026 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia, yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus mencatatkan penurunan 2.7 peratus pada Disember 2025, selepas susut 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turun 12.1 peratus dari 9.7 peratus pada November 2025 terutamanya disebabkan oleh penurunan 19.6 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.

“Sektor perlombongan susut 8.8 peratus daripada 7.2 peratus pada November 2025 dipengaruhi oleh penurunan indeks pengekstrakan gas asli (-11.5 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-7.8 peratus).

“Sektor pembuatan turut menguncup 1.3 peratus daripada 0.6 peratus pada November 2025, dengan indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis turun 6.2 peratus. Sebaliknya, sektor bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 4.1 peratus dan 10.9 peratus,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan, Malaysia Disember 2025 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Mohd Uzir berkata pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan perlahan 0.2 peratus pada Disember 2025 daripada 0.3 peratus pada November 2025.

Beliau berkata sektor perlombongan turun 2.0 peratus manakala sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga susut 1.1 peratus.

Sebaliknya, sektor pembuatan meningkat perlahan 0.1 peratus, katanya.

Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata semua peringkat pemprosesan mencatatkan perubahan tahunan negatif pada Disember 2025.

Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 8.3 peratus, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turun 1.6 peratus serta indeks barang siap susut 0.7 peratus, katanya.

DOSM menjelaskan pada asas bulan ke bulan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 0.8 peratus, manakala indeks barang siap susut 0.2 peratus.

Sebaliknya, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah pada Disember 2025, tambahnya.

Mohd Uzir berkata IHPR pengeluaran tempatan terus turun 1.5 peratus pada suku keempat 2025, berbanding penurunan 2.4 peratus pada suku ketiga 2025, disebabkan oleh sektor perhutanan, perhutanan dan perikanan (-6.7 peratus), perlombongan (-5.7 peratus) dan pembuatan (-0.8 peratus).

“Bagaimanapun, sektor bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus dan 10.6 peratusm,” katanya.

Beliau berkata IHPR pengeluaran tempatan turun 2.0 peratus pada 2025, selepas peningkatan 0.3 peratus pada 2024.

Menurut DOSM perbandingan antara beberapa ekonomi terpilih menunjukkan pelbagai trend bagi harga pengeluar pada Disember 2025.

IHPR Jepun meningkat tahun ke tahun 2.4 peratus, sederhana daripada peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya manakala China kekal dalam deflasi pengeluar, dengan IHPR menurun 1.9 peratus, berbanding penurunan 2.2 peratus pada November 2025.

“IHPR Thailand juga turun 1.8 peratus, selepas penurunan 1.6 peratus pada bulan sebelumnya. Ini menandakan sepuluh bulan berturut-turut inflasi pengeluar tahunan negatif, satu trend yang sama dengan Malaysia,” jelasnya.

Melihat kepada harga komoditi terpilih Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata menurut Bank Dunia, purata harga minyak mentah Brent pada Disember 2025 adalah US$62.72 setong, turun daripada US$63.61 setong pada bulan sebelumnya.

“Penurunan harga minyak mentah global pada bulan ini terutamanya disebabkan oleh lebihan bekalan yang berterusan serta permintaan yang lebih rendah di pasaran global,” katanya.

Selain itu, harga minyak mentah Brent pada 2025 secara keseluruhannya lebih rendah berbanding 2024, mencerminkan permintaan yang lebih perlahan dan tekanan bekalan yang berterusan.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit dan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia turut lebih rendah pada Disember 2025.

“Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan harga purata MSM susut kepada RM4,042.50 satu tan berbanding RM4,089.50 satu tan pada November 2025, disebabkan oleh peningkatan inventori minyak sawit sepanjang bulan tersebut, katanya.

Inventori juga dijangka kekal tinggi, yang berkemungkinan terus mengehadkan kenaikan harga, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan