WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Exco FAM Letak Jawatan Beramai-ramai

28/01/2026 04:57 PM

PETALING JAYA, 28 Jan (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela meletak jawatan mereka dengan serta-merta hari ini.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan peletakan jawatan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi. 

Beliau berkata ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang menarik perhatian umum sekali gus antara lain bertujuan melindungi integriti FAM.

“Peletakan jawatan ini bertujuan untuk mencapai objektif berikut iaitu menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

“(Selain itu) menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan keyakinan awam perlu dipelihara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata peletakan jawatan itu turut dapat menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.

Katanya tindakan itu juga untuk memastikan sebarang pembaharuan perlu dilaksana dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.

Beliau berkata peletakan jawatan itu turut bertujuan memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi dan komuniti bola sepak secara keseluruhan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman akan terus menjalankan operasi harian badan induk itu yang dijangka mengadakan Kongres Pemilihan bagi melantik barisan Jawatankuasa Eksekutif baharu.

Krisis yang sedang melanda FAM bermula pada September tahun lepas selepas FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Siasatan mendapati FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan ketujuh-tujuh pemain tersebut, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia AFC 2027 di sini, pada Jun tahun lepas.

Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) dan kesemua mereka digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Semalam, FAM memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain terlibat selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan