WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Marin Rampas Mercun Untuk Jualan Tahun Baharu Cina Bernilai RM105,400

28/01/2026 03:06 PM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Marin Wilayah Satu menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM105,400 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang dekat Sitiawan semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Jaffri Bidin berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 4 petang hasil maklumat yang diterima daripada orang awam dan hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak mercun di ruang dapur rumah berkenaan serta dalam sebuah van.

“Lelaki itu mengakui tidak mempunyai sebarang lesen yang sah memiliki atau menyimpan mercun dan menjadikan rumah berkenaan sebagai stor penyimpanan sejak dua minggu lepas untuk dijual di pasaran sekitar Sitiawan sempena Tahun Baharu Cina nanti.

“Antara mercun yang dirampas adalah happy boom red cracker, happy boom assorted celebration cake repeater, happy boom shoot cake serta happy boom celebration red firecracker,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri berkata kesemua mercun dan sebuah van Toyota Hiace yang dirampas dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan bagi tujuan dokumentasi serta diserahkan ke Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan