WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISF Group Sasar Peroleh Projek Pusat Data Selepas Penyenaraian Di Pasaran ACE

28/01/2026 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- ISF Group Bhd akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan pusat data di Malaysia selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE dengan memperoleh lebih banyak projek tahun ini.

Pengarah Urusannya, Jeff Ai Boon Chen berkata syarikat penyelesaian perpaipan perindustrian dan komersial itu mempunyai beberapa projek pusat data yang sedang dijalankan di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

“Pusat data merupakan projek pemulihan yang cepat, mengambil masa dalam tempoh antara 12 hingga 18 bulan untuk disiapkan dan ini sebenarnya tidak tercermin dalam nilai perolehan ISF Group lagi kerana syarikat sentiasa mengemukakan tender projek baharu.

“Justeru, kami menjangkakan projek baharu untuk pusat data akan datang pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Ai berkata walaupun projek pusat data kini menyumbang 47.5 peratus daripada pendapatan kumpulan, selebihnya terdiri daripada projek kediaman, perindustrian, komersial, institusi dan penjagaan kesihatan.

“Pada asasnya, kami ketika ini memanfaatkan peningkatan pusat data (projek yang menyumbang kepada pendapatan ISF Group),” katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga merancang untuk mengembangkan tenaga kerjanya dengan membawa masuk lebih ramai profesional dan kakitangan teknikal - pemodel rasuk, jurutera, pengurus projek dan juruukur kuantiti ke dalam pasukannya.

Ai berkata buat masa ini, syarikat itu mempunyai 220 kakitangan pembinaan dan kebanyakan projek dilaksanakan menggunakan tenaga kerja dalaman.

“Apabila terdapat tarikh akhir (masa yang singkat), Kami memerlukan pihak ketiga atau subkontraktor untuk membantu kami, jadi ia bergantung kepada kemajuan projek.

“ISF Group masih bergantung kepada subkontraktor kami dalam situasi semasa kerana kami masih membangunkan pasukan kami sendiri,” katanya.

Pada pembukaan, harga saham ISF Group dibuka pada harga 50 sen, premium sebanyak 17 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 33 sen, dengan 50.14 juta saham diniagakan selepas memulakan penyenaraian di Pasaran ACE.

Daripada RM61.15 juta yang dikumpul daripada IPO, ISF Group telah memperuntukkan RM11.35 juta (18.56 peratus) untuk mewujudkan dan mengembangkan kemudahan operasi dan RM2.05 juta (3.35 peratus) untuk membangunkan aktiviti perniagaan sedia ada.

“Selain itu, RM1.85 juta (3.03 peratus) akan digunakan untuk pengembangan tenaga kerjanya, RM1.20 juta (1.96 peratus) untuk pembayaran balik pinjaman, RM39.90 juta (65.25 peratus) untuk modal kerja dan baki RM4.80 juta (7.85 peratus) untuk pembayaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam satu kenyataan susulan penyenaraian berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan