WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Dua Warga Myanmar, Rampas Syabu Dan Ubat Batuk

28/01/2026 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki warga Myanmar serta merampas dadah jenis methamphetamine dan ubat batuk mengandungi kodeina dalam serbuan di Kompleks Pasar Borong Selayang, pada 23 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam serbuan kira-kira 10.15 pagi itu, pihaknya terlebih dahulu menahan seorang lelaki Myanmar berusia 26 tahun di kawasan anak tangga kompleks berkenaan.

Beliau berkata suspek kemudian memandu arah pasukan polis ke sebuah rumah di tingkat dua kompleks sama dan seorang lagi lelaki warga asing ditahan ketika sedang baring di dalam sebuah bilik.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah menjumpai empat kotak mengandungi 95 botol cecair disyaki ubat batuk mengandungi kodeina dan satu paket plastik berisi dadah jenis methamphetamine seberat 53.79 gram (g)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata kedua-dua suspek yang merupakan pemegang kad UNHCR dan bekerja sebagai buruh kasar di pasar borong berkenaan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lepas dan jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan 5,872 penagih.

"Ujian urin mendapati mereka (suspek) negatif dadah dan pihak polis percaya pasaran bagi bekalan dadah ini adalah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman hingga 29 Jan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan