WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Serbu Makmal Dadah, Pasangan Warga China Ditahan

28/01/2026 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah selepas menyerbu sebuah makmal di dalam unit kondominium mewah di Desa ParkCity, di sini pada 22 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam serbuan pada 9 malam itu, pihaknya menahan sepasang suami isteri warga China masing-masing berusia 46 dan 39 tahun di ruang tamu kediaman berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal di atas meja ruang tamu telah menjumpai satu paket plastik cerah berisi dadah jenis ketamin seberat 34.90 gram (g).

"Pemeriksaan seterusnya di sebuah bilik kedua telah membawa kepada penemuan sebuah makmal pemprosesan dadah serta bahan-bahan disyaki untuk memproses, membungkus dan menyimpan pelbagai jenis dadah bagi tujuan pengedaran," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Ahmad Sukarno berkata antara dadah yang dirampas di bilik tersebut adalah ketamin seberat 1,878.90 g, methamphetamine (380 g), kokain (62 g) dan serbuk MDMA (7,151 g).

"Turut ditemukan di dalam almari baju ialah 10 botol plastik mengandungi cecair disyaki dadah MDMA seberat 37,445 g, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM164,496," katanya.

Ahmad Sukarno berkata siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas, dengan menyewa premis mewah itu pada harga RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bagi tujuan pemprosesan dadah.

"Suspek lelaki berada di Malaysia sejak November tahun lepas, manakala isterinya pula baru sahaja sampai kira-kira seminggu sebelum ditangkap. Ujian urin mendapati suspek wanita positif dadah, manakala suaminya negatif," katanya sambil menambah kedua-dua mereka mempunyai pasport dan visa lawatan yang sah.

Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan berstatus penganggur itu, kini ditahan reman hingga 29 Jan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis percaya hasil pemprosesan dadah dari makmal tersebut adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan