WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Operasi Pemadaman Kebakaran Di Tanah Gambut Capai 50 Peratus

27/01/2026 11:56 PM

KOTA TINGGI, 27 Jan (Bernama) -- Operasi pemadaman kebakaran kebun melibatkan kawasan tanah gambut di Sungai Kapal, Taman Bayu Damai yang berlaku sejak Jumaat lepas kini mencapai 50 peratus setakat 7 malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan operasi pemadaman berjaya mengawal dan memadam kira-kira 49.8 hektar atau hampir 50 peratus daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran, dengan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.

“Seramai 26 anggota JBPM terlibat dalam operasi dengan kekuatan jentera melibatkan sebuah Fire Rescue Tender, sebuah Hilux, sebuah hydrosub dan sebuah lori tiga tan.

“Operasi turut mendapat kerjasama agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Alam Sekitar,” menurut JBPM Johor dalam hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat terkini, kebakaran melibatkan kawasan seluas 99.55 hektar dengan tahap kemerebakan tinggi susulan cuaca kering dan berangin menyebabkan asap tebal merebak ke kawasan perumahan sekitar Taman Bayu Damai.

“Bagi membantu penilaian tahap kemerebakan dan keadaan kawasan, Unit Dron dari Zon 2 telah digerakkan... operasi menghadapi cabaran berikutan sumber air yang terhad serta laluan masuk ke lokasi kebakaran yang sukar diakses.

“Sebuah jentera excavator sewaan daripada Majlis Perbandaran Pengerang turut digunakan untuk membina fire break bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak... operasi pemadaman dilaksanakan secara berperingkat melibatkan dua sektor utama,” katanya.

Di Sektor B, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 500 kaki dengan bantuan breaching dan pancutan nozzle selain pembinaan fire break manakala di Sektor A, anggota bomba bersama APM dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memadam kebakaran di belakang kawasan perumahan Taman Sungai Kapal menggunakan pam jentera, pam angkut dan sumber air pili bomba berhampiran.

Selain itu, JPS membantu dengan kerja-kerja pengaliran air menggunakan mini excavator dan mengepam air dari sumber terbuka menggunakan peralatan hydrosub bagi membanjiri kawasan kebakaran.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Sabri Ramli sebelum komander operasi diambil alih oleh Ketua Balai BBP Sungai Rengit Timbalan Penguasa Bomba II Bahruddin Idris.

Turut hadir memantau operasi ialah Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor PPjB Muhammad Al Mustakim Abdul Hady dan beberapa pegawai kanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan