WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelulusan Projek Dipercepat, Pacu Momentum Ekonomi - PM Anwar

27/01/2026 05:31 PM

SEMENYIH, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan mempercepatkan kelulusan projek yang mematuhi semua peraturan dan prosedur ditetapkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kelewatan yang tidak perlu dalam proses kelulusan wajar dielakkan kerana boleh menjejaskan momentum pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kalau ikut peraturan, prosedur mesti betul, kalau boleh lulus dua bulan, lulus dua bulan. Tidak ada sebab nak tangguh. Ini negara Malaysia baharu, Malaysia yang mahu mencatat pertumbuhan lebih baik, kita tak boleh lengahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kecekapan tadbir urus dan kelulusan pantas merupakan antara faktor penting untuk memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pendekatan itu akan memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan dan keselesaan hidup hasil pelaksanaan projek yang disegerakan.

Perdana Menteri berkata projek berskala kecil perlu diberi perhatian serius dan tidak wajar dilengahkan kerana ia memberi kesan langsung kepada keselesaan rakyat.

“Projek-projek kecil seperti jalan kecil, projek membina surau, ini dianggap umpamanya projek kecil. Itu pun bagi saya projek utama. Kalau harus disiapkan, siapkan segera,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata prestasi ekonomi negara ketika ini berada pada tahap memberangsangkan dengan pertumbuhan yang membanggakan di peringkat serantau, pengukuhan nilai ringgit serta rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

“Kalau lihat angka-angka terkini, prestasi ekonomi kita baik. Kita lihat umpamanya pertumbuhannya, di rantau ini membanggakan. Kita lihat kekuatan ringgit itu cukup meyakinkan sekarang.

“Kita lihat angka pelaburan (ketika ini) tertinggi dalam sejarah. Semua angka ini penting untuk menambah keyakinan rakyat, termasuk di Semenyih,” katanya sambil menekankan bahawa pencapaian itu penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap asas ekonomi negara.

Perdana Menteri mengakui masih terdapat kelemahan dan cabaran yang perlu ditangani, namun kerajaan memilih pendekatan positif dengan terus memperbaiki segala kekurangan secara berpasukan.

“Hari ini walaupun ada masalah kemiskinan, tapi ia jauh berkurangan dan Kerajaan MADANI bertekad untuk cuba menyelesaikan masalah kemiskinan tegar,” katanya.

Anwar berkata potensi Malaysia yang disokong oleh kekuatan ekonomi, keupayaan sumber manusia, tahap pekerjaan serta prestasi pekerja menunjukkan negara ini memiliki kemampuan untuk mengangkat martabatnya sebagai sebuah negara yang hebat di Asia.

Beliau berkata ekonomi yang kukuh penting bagi menjamin peluang pekerjaan serta mengelak peningkatan kadar pengangguran, sambil mengakui kejayaan ekonomi negara turut digerakkan oleh sumbangan pekerja, peniaga dan pengusaha.

Anwar juga menekankan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi dan komitmen untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan kepercayaan merasai manfaat pertumbuhan negara.

“Kita mahu semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara yang hebat ini. Mereka boleh bersama-sama membina sebuah Malaysia baharu, dan itulah sebenarnya matlamat kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan