WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelabuhan Pulau Pinang Dijadikan Sebagai “Homeport” Akan Pertingkat Peranan Maritim Malaysia

27/01/2026 03:17 PM

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Langkah kerajaan persekutuan untuk menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang, diterajui Terminal Pelayaran Jeti Swettenham (SPCT), sebagai “homeport” (pangkalan kapal) utama bagi wilayah utara dijangka akan meningkatkan peranan Pulau Pinang dalam ekosistem maritim Malaysia dan memperkukuh ketersambungan ekonomi serantau.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata peralihan itu akan meletakkan Pelabuhan Pulau Pinang di luar fungsi semasanya sebagai pelabuhan persinggahan dengan memperkukuh aktiviti pelayaran dan maritim untuk koridor utara.

Beliau berkata rekod prestasi operasi SPCT termasuk pengendalian lebih 700,000 penumpang kapal persiaran pada 2025, mencerminkan keupayaan pelabuhan yang konsisten, selamat dan cekap.

“Kekuatan operasi ini menyokong keyakinan pelabur serta pergerakan barangan yang lancar di dalam dan luar negara.

“Suruhanjaya itu juga melihat cadangan menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pangkalan kapal utama sebagai peluang untuk memangkin limpahan ekonomi yang lebih luas dan meletakkan negeri ini sebagai nod (titik pertemuan) sangat penting dalam ketersambungan rantaian bekalan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PPC kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan termasuk Penang Port Sdn Bhd (PPSB), kerajaan negeri Pulau Pinang, Kastam dan agensi berkaitan lain, bagi memastikan peralihan dilaksanakan menerusi rangka kerja kawal selia, keselamatan dan perancangan yang betul.

Yeoh menekankan bahawa peralihan yang dicadangkan melibatkan pertimbangan struktur dan operasi, memandangkan Pelabuhan Pulau Pinang beroperasi di bawah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 dan Akta Pelabuhan (Penswastaan) 1990 yang mentakrifkan peranan kawal selia PPC dan tanggungjawab operasi PPSB.

“Ini adalah perubahan perundangan dan perancangan, bukan sekadar label pemasaran, dan ia memerlukan kelulusan dan penaiktarafan diselaraskan untuk memenuhi keperluan penumpang dan kapal,” katanya.

PPC menyokong visi “homeport” oleh kerajaan persekutuan, melihatnya sebagai mandat dan peluang untuk meningkatkan kedudukan maritim Pulau Pinang, memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan memperkukuh kedudukan daya saing Malaysia dalam sektor maritim global.

Pendirian PPC mencerminkan usaha berterusannya untuk memodenkan operasi pelabuhan, melabur dalam transformasi digital dan mengembangkan kapasiti kerana suruhanjaya itu menyedari bahawa peralihan kepada peranan pelabuhan utama memerlukan penaiktarafan infrastruktur, perancangan dasar bersepadu dan penyelarasan pihak berkepentingan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan