WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Album Baharu K-Pop Enhypen Duduki Tangga Ke-2 Carta Billboard 200 AS

26/01/2026 07:19 PM

SEOUL, 26 Jan (Bernama-Yonhap) -- EP terbaharu kumpulan lelaki K-pop Enhypen, “The Sin: Vanish”, debut di tangga kedua carta Billboard 200 Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Yonhap.

Kumpulan tujuh anggota itu berada di belakang album “Don't Be Dumb” oleh penyanyi rap Amerika A$AP Rocky, yang menduduki tempat teratas carta minggu ini, menurut Billboard dalam pratonton carta pada Ahad (waktu AS).

Pencapaian itu menandakan kemasukan enam kali berturut-turut Enhypen dalam 10 teratas Billboard 200, termasuk “Romance: Untold” yang berada di kedudukan kedua pada 2024.

Carta Billboard 200 menyenaraikan album paling popular mingguan di AS, diukur melalui unit album setara, meliputi jualan fizikal, unit setara lagu dan unit setara penstriman.

“The Sin: Vanish” memperoleh 122,000 unit album setara dalam tempoh penjejakan, dengan 113,000 unit adalah hasil jualan fizikal - yang tertinggi minggu ini - menurut Billboard.

Pelancaran itu membuka siri baharu septet berjudul “The Sin”, yang berpusat pada tema dosa.

Album itu mengandungi 11 lagu termasuk lagu utama “Knife”, yang menggambarkan pergolakan dalaman pasangan kekasih yang hidup dalam pelarian.

Runut bunyi asal animasi popular Netflix “KPop Demon Hunters” pula turun empat anak tangga ke kedudukan kesembilan dalam carta sama.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan