KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak berharap Kerajaan Negeri Sarawak dapat meningkatkan peruntukan kewangan kepada persatuan itu bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti pencegahan dadah.
Pengerusi PEMADAM Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata buat masa ini pihaknya menerima peruntukan RM500,000 setahun, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung kos operasi dan pelaksanaan aktiviti.
“Jumlah itu mungkin kelihatan besar, namun kita perlu mengambil kira penambahan bilangan daerah di Sarawak. Selain itu, peruntukan turut diperlukan bagi membayar gaji kakitangan serta kos sewa pejabat memandangkan PEMADAM kini mempunyai pejabat sendiri.
“PEMADAM negeri memohon tambahan peruntukan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan usul berkenaan akan dibawa ke Kabinet Negeri Sarawak. Kami berharap permohonan ini akan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri,” katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelaras PEMADAM Sarawak 2026 di sini hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata pada tahun lepas, PEMADAM Sarawak telah menganjurkan sebanyak 92 program di seluruh negeri, termasuk ceramah dan aktiviti kesedaran kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial